Wednesday, January 1, 2014

-2014-

Salam,

Syukur kehadrat Ilahi. kita masih terus bernafas untuk menghayati detik-detik kehidupan seterusnya...

2013 ditinggalkan dengan jutaan kenangan yang akan dijadikan penguat untuk kita terus memandang kehadapan. 2014 diharapkan memberi harapan dan sinaran agar apa yang diimpikan tercapai..

Azam?? Rasanya setiap tahun azam yang sama. Apapun yang pasti, ingin terus menjadi insan yang baik, disayang Allah dan kehidupan diberkati. Akan terus mengejar dunia untuk akhirat kerana disana itulah yang pasti.

Menulis? Insya Allah. Ini impian yang sudah tertunai. syukur kerana diberi kelebihan ini. Moga diri ini akan terus utuh mengeluarkan idea-idea yang dapat dikongsi bersama. Mengeluarkan kata yang bisa membuat orang teringat akan sesuatu kebaikan itu. dan akan terus menulis untuk membentuk sahsiah yg baik disisi Allah. 

Walaupun kadangkala semangat itu meluntur dan terus menjauh, tapi akan terus cuba kuatkan hati menitip setiap bait untuk tatapan umum. Cuma ada waktu senggang yang memaksa diri ini mengundur diri seketika. Insya Allah, perancangan Allah itu Maha Sempurna. Selagi kita percaya, rahmat Allah sentiasa akan memayungi kita. Amin...


Salam Sayang, 
Shahzy Hana

Friday, December 13, 2013

Pesta Buku 1M - 11 Dec 2013 - 15 Dec 2013



Duty! yeay! setelah berehat selama dua tahun, kali ini saya akan berada disini untuk sesi bertemu dengan peminat2 novel sekalian.

Teruja? sudah pasti. saya suka. memang dinantikan. saya seronok kerana ketika ini dapat bercerita tentang minat yang sama. BUKU!!! dimana-mana ada buku. tak kiralah novel ataupun bahan bacaan yang lain.


Bagi yang memang gila membaca, tidak kiralah apapun, janji ada tulisan yang boleh dibaca dan difahami, dia akan teruja.

Jadi, sekiranya anda ada kelapangan, sila ke PWTC dan ke booth Jemari Seni untuk sesi bertemu dengan saya pada hari ahad 15 Dec 2013.


Salam sayan,
Shahzy hana

Wednesday, December 11, 2013

Hari Yang Indah - 11.12.13

Cantik susunannya. lancar bibir menuturnya. Sekali dalam seumur hidup. Ya kan? usia yang meninjak dari sehari kesehari tanpa sedar.

Syukur alhamdulillah. masih diberi peluang untuk terus menghirup nafas. sedetik lagi, seminit lagi, ataupun mungkin setahun? Tanpa sedar, usia ini semakin mengintai angka seterusnya. Ah, cepatnya masa berlalu. Begitu juga dengan cakerawala ini. semakin tua dan uzur. Jujur, hati dan jiwa semakin gerun, memikirkannya. apakah sudah terbasuh segala dosa yang terpalit? Sudah banyakkah bekalan yang disiapkan untuk bertemu dengan Yang Khaliq? Ya Allah......

Tersentak. Melalui pelbagai transformasi, kadangkala akal ini tidak dapat lari dari berfikir. mata ini tidak dapat aku alihkan dari memandang. Oh, inilah permainan duniawi. Sangat kejam! Keikhlasan entah dimana bersembunyi. yang terpapar hanyalah kepuraan yang semakin mudah untuk ditelah. Usah disorok disebalik mimik wajah kerana apa yang terlukis itu sudah cukup menceritakan semua.

Tapi, siapa aku untuk menghukum. Biarkanlah. Aku pasti selagi aku berpaut pada ranting syariat, bersandar pada perdu sunnah Rasulullah dan hidup berpandukan ayat-ayat cinta Ilahi, tidak ada apa yang perlu aku gentarkan. Perubahan itu perlu. Berjihad itu amat besar pengertiannya. hanya kita yang menyempitkan maksud. lalu, apakah aku bisa dihukum hanya kerana aku berubah? Tidak! biarkah bibir-bibir itu terus berkata. Mata itu terus memandang jelik. Pada aku, selagi pandangan Allah itu tidak teralih dari memandang diri ini, aku sudah cukup bahagia.

Saham akhirat yang aku kejar ini sentiasa dijadikan asas tatkala hati dan jiwa cuba dicemari dengan rasa riak, sombong, iri hati, hasad dengki. sifat-sifat mazmumah ini mudah untuk menghampiri jiwa yang sentiasa was-was dalam menentukan jawapan. Namun, seringkali aku kembali kepada niat. sekurang-kurangnya aku dapat berfikir, mengapa aku diberi peluang untuk hidup dan menikmati kehidupanku. Sekurang-kurangnya jika tidak sepuluh, biarlah satu manfaat aku lakukan. Apabila disoal 'disana' nanti, ada juga yang boleh aku jawab. itu adalah pandanganku.

Lain orang lain rasanya. kalau kita mempunyai rasa yang sama sudah pasti dunia ini akan muram kerana mempunyai hanya satu warna. bukankah indah andai dunia kita ditaburi dengan jutaan warna yang menjadikan hidup ini lebih bermakna? pilihlah yang terbaik. 


shahzy hana

p/s - ini bukan novel (^_^)


Saturday, December 7, 2013

Warna Hati Nurul


Seperti penulis lain, setiap karyanya pasti mempunyai rasa yang  berbeza. Ya. ketika melakarkan ketabahan Nurul Hasyifa, saya juga telah hanyut dalam bebanan perasaannya. Rasa sedih dan gembira sering bergelumang dalam diri seperti watak Nurul yang kerap kali turun naik. 

Memulakan bait dengan kisah yang benar-benar terjadi. Saya tertanya pada diri, bagaimanakah keadaan saya seandainya saya juga kehilangan suami dihari pertama saya diijabkabulkan? apakah saya tabah ataupun semangat ini akan terkulai layu. atau apakah saya terus meratap pemergiannya bagaikan dunia ini juga akan berhenti berputar?

mencorakkan watak Nurul hasyifa, saya cuba menggambarkan perasaannya sebagai seorang yang kerap tenggelam timbul oleh perasaannya. saya tidak mahu  menggambarkan dia sebagai seorang yang 'terlalu' sempurna walaupun sudah terdidik dengan agama dan kesantunan sejak kecil lagi, saya masih mahu dia nampak kosong pada sisi lain. Pada saya, sesempurna manapun seseorang itu, pasti ada ruang yang kosong dalam hidupnya kerana yang sempurna itu hanya milik Yang Khaliq.

masih berkisarkan hubungan antara suami dan isteri, saya lebih senang menggarapkan kisah sebegini. lantaran, dewasa ini ikatan perkahwinan ini sudah semakin longgar dan kerap penceraian berlaku, saya masih memandang sisi yang lain dalam mempertahankan ikatan anugerah Allah. Perpisahan bukanlah jalan terakhir untuk satu-satu keputusan dalam satu-satu ikatan. Ruang untuk bermusyawarah masih luas. yang sempit hanya akal kerana diselubungi rasa amarah yang sukar dikawal. Pada saya, selagi kita kembali pada diri, insya Allah, ruang itu sentiasa terbuka.

Saat hati terluka, menolehlah sekali kebelakang. lihatlah saat manis. Saya pasti, kalau tidak banyak pasti ada sedikit kemanisan selama hidup berdua. Pasti! 

Semoga nukilan saya ini dapat dijadikan panduan. Ilmu itu dapat dipanjang dan dikongsikan. yang baik itu datangnya dari Allah juga. diri saya masih lagi banyak kepincangan yang perlukan teguran. Tegurlah saya. itu tanda anda sayang pada saya.


cinta bukan hanya perasaan tetapi pengorbanan.


Salam sayang,
Shahzy Hana

Naskah dari hati - Impikan Mentari



Naskah yang penuh makna. Menggarapnya bagaikan membuka hijab yang selama ini saya sembunyikan jauh disudut hati. Ya, benar. Ketika melakarkan watak Izzati saya sering terhanyut dalam mainan perasaannya. Ketabahannya, kekuatannya, kekecewaannya, kesedihannya. kerapkali airmata ini menitis tanpa sedar. Pernah hampir meletakkan noktah. tidak mampu untuk terus menekan lagi huruf-huruf, menyusun baik menjadikannya satu naskah. Tapi, tiba-tiba hati ini terdetik. tatkala membaca status seorang teman diFB yang menempah jam tangan untuk suaminya dari luar negara, membuatkan saya cemburu. Ya, kerana saya tak mampu untuk berbuat begitu pada suami saya. lalu akal saya berfikir, apakah hadiah yang paling berharga?

Ya, inilah. hadiah saya buat suami yang telah melewati saat-saat getir itu. Kami sama-sama menangis. kami sama-sama tertawa. Alhamdulillah, tangannya sentiasa menggenggam tangan ini untuk mengatur langkah seterusnya walaupun awan mendung itu masih melingkari. Pada saya, inilah hadiah yang amat bermakna kerana tiap bait yang terlakar adalah cerita hati saya. 

Kisah Izzati & Ikhman yang terangkum didalam ini adalah gambaran dalam satu ikatan yang bernama perkahwinan. Saat lafaz ijab dan kabul itu terluncur, maka terpikullah satu amanah dari Allah untuk kita melayari kehidupan berdua. Bukan mudah menentang badai yang melanda. Tapi, tatkala genggaman erat ini tersimpul utuh, datanglah walau apajua, pasti akan dapat diharungi dengan tabah. 

Ketika melakarkan kisah ini, satu ayat yang kerap menyapa  minda. Semudah menyimpul ikatan dengan lafaz keramat itu, semudah itu jugalah untuk kita meleraikannya. Satu yang menjadi pertahanan, persefahaman dan kasih sayang. Rasa cinta yang tiada sempadan dan menerima pasangan dengan lapang hati. Pasti ikatan yang terjalin tidak mampu lerai dengan mudah kerana setiap dugaan dan ujian itu datangnya dari Allah. 

Dan, saya berharap agar kekuatan kasih dan cinta Izzati & Ikhman dijadikan contoh untuk kita terus mempertahankan ikatan yang dianugerahkan Allah ini.

Susun dan cantumlah bongkah-bongkah mimpi itu agar menjadi tembok yang kukuh dan utuh. Lalu, ukirkanlah apa yang sedang bersenandung dalam jiwa kerana setiap lakaran itu adalah cerita tentang kehidupan dan cinta.


Salam sayang,
shahzy hana

Salam perkenalan...

Assalamualaikum...

Sungguh saya terlupa sebenarnya saya sudah memulakan dunia blog ini sekitar tahun 2008 lagi. Ketika itu saya hanya membicarakan tentang naskah-naskah yang saya baca. Kecenderungan saya dalam membaca ketika itu membuatkan saya ingin berkongsi karya-karya yang bagus dengan peminat-peminat novel yang lain.

Alhamdulillah, syukur. Tahun 2009, saya telah merealisasikan impian saya sebagai penulis. Karya pertama saya, Tiada Noktah Cinta (terbitan CESB-2009) membuatkan apa yang saya impikan selama ini diberkati Allah. Pernah, pernah karya saya 'ditongsampahkan' oleh satu syarikat penerbitan. Dan, saya hampir-hampir berputus asa. Tapi, berkat dorongan dan sokongan tanpa rebah dari keluarga terutama suami, saya menghantar manuskrip ke CESB dan diterima untuk diterbitkan. Saya sangat terhutang budi dengan seluruh keluarga CESB. (^_^)

Dan bermula detik itu, saya tidak menoleh lagi. Lali, saya mengorak langkah seterusnya. Bulan Februari 2011, saya telah diterima menjadi keluarga Jemari Seni dengan terhasilnya Impikan Mentari. Bertaut pandangan dengan idola saya, Kak Noor Suraya (kak Su) yang ditemani oleh kak Mariah Musthapa (kak yah), membuatkan saya hampir-hampir tak mampu bersuara. Sungguh pertemuan diOld Town Coffee, Bangi itu adalah momen yang  tak akan saya lupakan. Banyak ilmu dan tip-tip menulis yang kak Su dan kak yah kongsikan. Mereka tidak pernah lokek berkongsi ilmu yang ada. Sungguh saya terharu.

Saat bertemu editor saya, abang Rosdi, sekali lagi saya terpana. Lelaki? itu yang pertama menerjah minda. Saya masih berfikir yang lelaki ini payah untuk membaca novel apatah lagi novel cinta. saya ada contoh terdekat. Tapi, bila mendengar abang Rosdi bercerita, saya tergamam. Rasa seronok dan teruja sebab kami bebas berbicara tentang dunia penulisan bagaikan tanpa sempadan. Pengalamannya amat luas dan ilmunya sangat tinggi itu mengagumkan saya. Dia juga tidak lokek dengan ilmunya. Dan, pertama kali saya memegang naskah Impikan Mentari, airmata ini jatuh menitis. Saya hanya menulis. Dia yang telah mengeditnya dengan baik dan menjadi satu naskah yang indah.

Sebagai seorang penulis baru, perasaan itu adalah cabaran yang paling besar dalam diri. mencabar untuk menyiapkan naskah kadangkala membuatkan mood turun naik tanpa sebab. Dan, yang paling kerap menyapa minda, masih adakah yang sudi berkongsi rasa untuk menatap naskah seterusnya? sangat bimbang andainya karya tidak diterima.

Saya masih ingat pesan editor saya. Sebagai penulis, kita perlu ada identiti sendiri. Dan, saya masih mencari identiti itu. Doa saya semoga dalam pencarian ini, saya akan mendapat ilmu dan rakan yang akan menelusuri perjalanan yang bernama kehidupan ini bersama saya. Amin..


Alhamdulillah, tanggal Julai 2013, naskah ketiga saya berjaya diterbit setelah beberapa kali tertangguh. Saya tidak pasti apa perasaan penulis lain. Tapi, bagi saya setiap kali lahirnya naskah baru, keterujaan yang dirasakan itu berlainan sekali. Ada satu perasaan yang tersimpan sekian lama dapat dilepaskan bertebangan bebas diangkasa. Lahirnya Warna Hati Nurul, membuatkan semangat saya untuk terus menulis berkobar. Insya Allah, saya dalam proses akhir editing untuk naskah keempat. Semoga semuanya dipermudahkan. Amin...

Akhir kalam, saya berharap hasil tulisan saya dapat diterima baik oleh pembaca sekalian. Yang baik itu hanya Allah S.W.T. yang buruk itu datangnya dari saya sendiri. tegurlah saya andai ada kepincangan. amin..


Salam sayang,
Shahzy Hana



Sunday, January 20, 2008

Pemanis Kata

Blog ini akan dijadikan satu landasan untuk saya terus berkarya. Juga untuk perkongsian ilmu dan naskah-naskah yang saya baca. Bingkisan dari hati saya untuk anda semua.